Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bekerjasama dengan syarikat swasta, KOZY Square untuk menyediakan bekalan makanan kepada petugas hospital dan agensi media sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Bantuan disalurkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Umum Sarawak.

Menurut kakitangan Pentadbiran Makanan dan Minuman (F&B) KOZY Square, Azie Azira Mohd Yansin, pihaknya menyediakan sebanyak 400 bungkus makanan untuk makan tengahari dan makan malam secara berasingan.

“Untuk media kami sediakan setiap hari dari hari Isnin hingga Ahad, sarapan dalam lebih kurang 50 bungkus dan makan malam 100 bungkus,” katanya.

Tambahnya, walaupun tiada masalah peruntukkan, bekalan bahan mentah perlu sentiasa dipantau kerana senarai pembekal agak terhad ketika ini berbanding kuantiti makanan yang disediakan.

Di samping itu, tidak hanya tertumpu di sesuatu bahagian, JKM akan terus bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan swasta bagi salur bantuan bekalan makanan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan.

Dalam masa sama, kerajaan turut memberi jaminan bahawa kebajikan petugas barisan hadapan dari sudut kesihatan, kewangan dan psikologi akan terus menjadi keutamaan sepanjang PKP berkuatkuasa.