Polis akan memohon menyambung reman tujuh suspek bagi membantu siasatan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, permohonan bagi lanjutan reman itu akan dibuat pada Jumaat.

“Bagaimanapun, tempoh sambung reman itu bergantung kepada Keputusan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


BACA: Kebakaran tahfiz disengajakan, silinder gas LPG punca api marak


Polis akan memohon tempoh reman itu dilanjutkan berikutan reman selama tujuh hari sebelum ini akan berakhir Jumaat.

Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh memaklumkan semua suspek yang berusia 11-18 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian Khamis lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu kira-kira 5.15 pagi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahimdalam satu sidang akhbar pada Khamis berkata dua bahan bukti diterima pihaknya dan telah dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur untuk dianalisa.

Ujarnya, hasil laporan forensik kebakaran, penemuan-penemuan serta punca kebakaran menunjukkan kejadian itu adalah disengajakan.