Kebebasan bersuara adalah penting tetapi ia tidak harus dijadikan medium yang menjejaskan keselamatan dan keharmonian sosial, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nurini Kassim.

Ketika berucap pada 'Malaysian Strategic Financial Outlook Forum' di sini pada Selasa, beliau berkata masyarakat secara umumnya perlu dididik tentang garis panduan yang perlu dipatuhi.

"Saya fikir di sinilah cabaran sebenar. Generasi muda sekarang nampaknya tidak faham tentang betapa seriusnya perkara ini kerana bagi mereka, internet, media sosial adalah tempat mereka bergantung.

"Mereka memperkongsi apa-apa posting yang mereka lihat. Di situlah, mereka tidak menyedari apa yang mereka katakan sebenarnya boleh mengguris perasaan dan membawa kemudaratan," kata beliau dan menambah isu ini perlu ditangani melalui pendidikan pada peringkat awal.

Sesi pleno yang bertemakan 'The Role of Public, Media and Civil Society Converting Outlook to Reality' juga menampilkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan ketua Biro Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Forum sehari itu anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) itu bertemakan "Governing in Times of Heightened Public Scrutiny and Accountability."

Menurut Nurini, Bernama akan berusaha ke arah lebih baik bagi mengangkat agenda sosial dan menangani lebih banyak isu yang berlaku di peringkat akar umbi.

"Apabila kita membincangkan isu-isu ekonomi di peringkat yang lebih tinggi, rakyat akan berfikir bagaimana ia akan memberi kesan kepada dirinya (mereka). Apa yang harus kita lakukan hendaklah berdasarkan penceritaan kisah dari rakyat.

-- BERNAMA