Semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sarawak perlu memohon permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seterusnya mereka juga mesti memohon kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melalui laman web sdmc.sarawak.gov.my.

Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan itu berkuat kuasa hari ini (Selasa, 19 Mei 2020).

“Tanpa permit daripada pihak polis, JPBNS tidak akan membenarkan sesiapa sahaja untuk masuk ke Sarawak.

“Syarat ini adalah selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu sekatan pergerakan di antara negeri,” kata Uggah ketika sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Selasa.

Antara lain, Uggah berkata pihak gereja kini boleh mengadaptasikan platform digital seperti Facebook dan YouTube untuk meneruskan upacara sembahyang secara penstriman langsung.

Jelas Uggah, namun langkah berjaga-jaga turut perlu diambil dengan menghadkan jumlah krew tidak melebihi 10 orang.

“Pada ketika ini, Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) bersama pihak Ketua-ketua Agama Lain (bukan Islam) sedang merangka SOP rumah-rumah ibadat agama-agama lain untuk digunapakai selepas berakhirnya PKPB ataupun selepas dibenarkan oleh pihak kerajaan.”

Sarawak hari ini tidak mencatatkan kes positif terbaharu COVID-19 dan seramai 31 individu dalam siasatan (PUI) turut dilaporkan dan 26 kes masih menunggu keputusan makmal.