Tahap kebergantungan Malaysia terhadap bekalan import makanan berada pada tahap membimbangkan, ujar Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Susulan itu katanya, kerajaan mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi terutama isu melibatkan sekuriti makanan.

Langkah berkenaan termasuk membina jelapang-jelapang tanaman padi yang baharu khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Sekuriti makanan ini menjadi tugas utama kementerian. Kita akan memulakan langkah dengan memastikan jelapang-jelapang baharu bagi tanaman padi kita.

"Saya telah melontarkan idea ini semasa lawatan ke Sarawak di mana saya melihat potensi keluasan tanah di Sarawak dan Sabah untuk dijadikan jelapang baharu di samping memodenkan jelapang kita di Semenanjung," katanya dalam sidang media selepas Program Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.

Jelas beliau, walaupun usaha mewujudkan lebih banyak jelapang padi berkenaan akan mengambil masa yang panjang, namun, perancangan itu perlu dimulakan segera.

Dalam pada itu, kementeriannya juga sedang mengkaji geran bantuan yang sesuai untuk membantu program Agrosiswa.

"Mahasiswa UPM saya pelawakan untuk guna platform Agrosiswa ini sebaik mungkin," katanya.

Agrosiswa juga akan tetap diteruskan dalam usaha menambah ilmu pengetahuan kepada mahasiswa dan pada masa sama menggalakkan lepasan graduan menceburkan diri dalam bidang pertanian.