Susulan insiden kebocoran gas amonia di sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, operasi kilang berkeluasan enam hektar itu terpaksa dihentikan sementara.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan, kejadian sekitar 11.30 pagi tadi itu berpunca daripada salah sebatang paip di bahagian bilik sejuk beku, berisi gas berkenaan yang digunakan untuk menyejuk beku produk makanan, mengalami kebocoran.


Beliau berkata, setakat jam 5.30 petang ini, 26 pekerja, masing-masing 16 orang dihantar ke hospital Jasin manakala selebihnya dihantar ke Hospital Melaka selepas mengalami sesak nafas dan masih menerima rawatan lanjut.


Katanya ketika kejadian, dianggar kira-kira 800 pekerja berada di kawasan kilang berkenaan dan dalam radius 50 meter dari kawasan bilik sejuk yang terletak berhampiran dengan unit pengasingan bahagian ayam yang diklasifikasikan sebagai ‘zon merah’.


“Sekarang keadaan persekitaran di luar kilang dalam keadaan selamat, cuma di bahagian terlibat masih dalam tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kawasan berkenaan kita telah mendirikan perimeter zon selamat yang mana bahagian zon merah ini kita telah tutup, pihak kilang kita tidak benarkan operasi. Sekarang kita gantung operasi dalam bahagian kilang kerana kita sedang dalam proses untuk menyah cemar gas amonia,” katanya dalam sidang media di pusat operasi di kilang berkenaan pada lewat petang Selasa.

Mengulas lanjut katanya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dengan bantuan syarikat swasta masih lagi menjalankan kerja-kerja menyah cemar sisa gas berkenaan bagi menghalang ia terus merebak.


Jelasnya, tiada sebarang kebakaran mahupun letupan seperti ditularkan dan hanya kebocoran pada paip gas yang berupa asap putih yang disedari oleh seorang pekerja.