Tutup

Kebocoran gas punca letupan di pangsapuri Desa Garden

Kebocoran gas punca letupan di pangsapuri Desa Garden
Polis berkata, letupan itu menyebabkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Lee Kok Eang, 62 cedera dalam kejadian kira kira jam 8.16 pagi itu. - Foto ihsan PDRM
GEORGE TOWN: Kebocoran gas dan percikan api dari pemetik api dipercayai punca berlakunya letupan di tingkat 20 pangsapuri Desa Garden, Jalan Paya Terubong, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang memaklumkan letupan itu menyebabkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Lee Kok Eang, 62 cedera dalam kejadian kira kira jam 8.16 pagi itu.

Menurutnya, siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mendapati berlaku kebocoran pada kepala dan hos penyambung tong gas berkenaan menyebabkan gas bocor dan memenuhi ruang kediaman tersebut dan letupan berlaku sewaktu mangsa mahu menyalakan api rokoknya.
Akibat letupan itu, mangsa melecur 80 peratus di badan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala, anak lelaki, menantu dan cucu mangsa tidak mengalami kecederaan.

BACA: Dinding rumah runtuh akibat letupan, wanita warga emas cedera

Che Zaimani berkata, menurut anak lelaki tersebut, Lee Chye Soon, 38, ketika kejadian dia dan isteri serta anak mereka sedang tidur di dalam bilik, manakala bapanya berada di ruang tamu.
Katanya, dia terdengar bunyi letupan kuat dan sebaik keluar, dia melihat bapanya tercedera dengan pemetik api dan rokok berada berhampirannya.

Menurut Chye Soon, dia terhidu bau gas yang kuat dan meluru ke dapur dan terus mencabut kepala hos tong gas berkenaan.

Chye Soon berkata, dia tinggal di rumah itu bersama bapanya sejak 15 tahun lalu dan bersyukur kerana anak dan isterinya terselamat.



Tag: Polis Daerah Timur Laut, kebocoran gas, percikan api, pemetik api, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Pulau Pinang, Lee Kok Eang, Hospital Pulau Pinang


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.