Kadar kebolehpasaran graduan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melonjak naik sehingga 91.4 peratus pada tahun lepas.

Statistik ini dikongsi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap kain Ching ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

"Kadar kebolehpasaran graduan TVET dari 2013 ke 2017 telah meningkat daripada 74.9 peratus kepada 91.4 peratus.

"Ini satu yang membanggakan. Ia diteruskan melalui pelbagai inisiatif supaya graduan bersedia dan kekal relevan dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Revolusi Industri 4.0)," katanya.

Tambah Mary, pihaknya sentiasa memberi penekanan kepada TVET supaya graduan yang dilahirkan dapat menepati kehendak industri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN - Lenggong) mengenai sejauh mana graduan TVET ketika ini mampu memenuhi keperluan industri dalam negara sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.