Tindakan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng perlu dikecam dan 'dilaknat' oleh semua rakyat Malaysia.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling menegaskan gerakan PKM yang cuba mengembangkan fahaman Komunisme satu ketika dahulu adalah satu penderhakaan kepada negara.

"Itu adalah satu peperangan, yang patut dianggap sebagai penderhakaan kepada kerajaan Malaysia sebab dia (Chin Peng) menderhaka kepada negara dan datang sebagai orang asing di Kuala Pilah dahulu, yang nak perintah dan ubah kerajaan Malaysia menjadi republik Komunis.

"Sepatutnya semua rakyat Malaysia melaknat gerakan itu kerana ia nak menggantikan kita dengan kekerasan. Kita selama-lamanya tak terima Komunisme ini.

"Jadi, kerana itu gerakan untuk membawa masuk abunya dan menaburkannya adalah gerakan pengkhianatan, bukan sahaja penderhakaan kepada negara bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah selama 40 tahun berperang dan dibunuh demi menegakkan kenegaraan Malaysia.

"Oleh kerana itu, kita perlu kecam, kita perlu melaknat orang yang berusaha membawa abu mayat itu dan taburkannya di sini (Malaysia) selain mereka yang cuba meneggakkan gerakan komunis dengan pindaan kepada bendera Malaysia yang berlaku dua tiga hari ini," katanya ketika ditemui media pada Khamis.

Beliau sebelum itu menjadi panel pada Wacana Intelektual: Sistem Monarki Abad Ke-21 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Zainal pada masa sama turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengembalikan gerakan itu supaya tidak melakukannya kerana menyifatkan komunis tidak akan diterima sehingga bila-bila di negara ini.

"Barangkali ada suasana dalam negara yang dulu sudah diuar-uarkan bahawa mereka ingin mencari kebebasaan - yang dinamakan mereka sebagai hak tetapi tidak ada hak... selamanya tak akan terima hak Komunis dalam negara kita.

"Sejak dahulu lagi bila pemberontakan itu berlaku, kita anggap ia penderhakaan kepada negara kita.

"Oleh kerana ada orang dalam pemerintahan sekarang yang melonggarkan fahaman ini dan nak mengekalkan fahaman ini termasuk ada (cucu) bekas Komunis yang menjadi wakil rakyat, maka kita sebenarnya harus menentang segala gerakan ini supaya kita sentiasa kekal aman dan tenteram dalam kalangan kita," tegasnya.

Pada Rabu, media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.