Akibat enggan menjalinkan hubungan cinta dengannya, seorang lelaki gila bayang bertindak nekad menculik seorang wanita dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ahad.

Lelaki berusia 27 tahun itu bertindak melarikan mangsa, 29, ketika wanita itu mahu memasuki kereta miliknya selepas habis waktu bekerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ( SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata kehilangan mangsa disedari bapanya selepas anak perempuannya itu tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya pada jam 10.30 malam.

Berikutan itu, bapa mangsa telah ke tempat kerja anaknya sebelum dimaklumkan oleh rakan sekerja bahawa anaknya telah dilarikan oleh seorang lelaki.

Noorzainy berkata menurut laporan, saksi yang berada berdekatan lokasi kejadian mendengar jeritan mangsa meminta tolong dan cuba mengejar kenderaan tersebut namun gagal kerana dipandu laju.

Siasatan mendapati suspek telah membawa mangsa ke sebuah pasar awam di Tasek Gelugor dan mengurung mangsa di dalam kenderaan terbabit dengan kedua-dua tangan terikat di belakang.

Suspek kemudiannya menghubungi abang kandungnya dan memaklumkan bahawa dia telah melarikan mangsa sebelum abangnya datang berjumpa mereka di pasar awam berkenaan.

Menurut Noorzainy lagi, mereka bertiga kemudiannya telah pergi ke kawasan Pantai Bersih di Butterworth bagi memujuk suspek sebelum lelaki itu akur untuk menyerah diri kepada pihak polis selepas empat jam berada di situ.

Tambah Noorzainy, siasatan awal mendapati bapa mangsa sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap suspek kerana mengganggu anaknya itu dan kes tersebut diselesaikan secara baik selepas suspek berjanji tidak akan mengganggu mangsa lagi.

Suspek yang turut mempunyai rekod jenayah bersabit kes dadah kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.