Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong cadangan untuk mengecilkan jumlah murid dalam satu kelas kepada kurang daripada 30 orang.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, pengecilan kuantiti murid dalam kelas perlu dilakukan bagi membolehkan guru memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Katanya, pandangan yang dikemukakan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) itu seiring arahan Kementerian Pendidikan supaya menghentikan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik mulai 2019.


"Berdasarkan PDP, seseorang guru dilatih untuk mengajar kelas seumpama demikian. Mereka akan mengajar, dan untuk murid yang cemerlang, akan diberi latihan yang berunsur pengayaan (enrichment).

"Bagi murid yang kurang pencapaian, mungkin guru akan beri pemulihan. Jadi, jika kelas itu kecil atau mengikut saiz optimum, tiada masalah untuk menjalankan PDP," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Tegas Tan, saiz murid dalam kelas tidak menjadi punca yang menjejaskan fokus guru semasa pengajaran.

Sebaliknya, katanya, apa yang menjadi faktor ialah, guru terpaksa menggalas tugas yang tidak berkaitan dengan PDP.

"Apa yang sering NUTP bangkitkan adalah, masa guru dikuncupkan atau diambil oleh tugas-tugas lain yang tidak ada kaitan dengan PDP.

"Ini menjadi satu masalah kepada kita, bukan isu sama ada kelas itu besar atau kecil. Kerana, guru boleh mengajar, itu tidak jadi masalah," ujarnya.

Justeru, beliau yang senada dengan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) yang mahu cadangan itu dipertimbangkan bagi membolehkan guru memberi perkhidmatan yang terbaik kepada modal insan negara.

Malah, beliau berpandangan guru-guru mesti diwajibkan menjalani latihan dalam meningkatkan profesionalisme perkhidmatan, terutama dalam pelaksanaan penggabungan kelas, tanpa mengikut tahap akademik.