Kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights tercetus semula awal pagi ini apabila sebahagian daripada orang awam yang berkumpul bertindak ganas.

Mereka membakar dua bangkai kereta pada kira-kira jam 1 pagi ini dan sebuah kereta kira-kira sejam kemudian.

Mereka juga turut bertindak merosakkan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berada di lokasi untuk memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor memberi jaminan keadaan di kuil itu dan kawasan sekitarnya terkawal setakat jam 3 pagi ini.

Polis telah membuat kawalan 24 jam bagi mengelak sebarang kejadian tidak dingini dan mengeluarkan amaran supaya tiada mana-mana pihak cuba mencetuskan kekecohan dan provokasi.

"Saya akan ke lokasi kejadian bagi memantau lokasi perkembangan keadaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi.

"Saya menasihatkan orang awam agar tidak perlu panik kerana polis berada di lokasi untuk mengawal keadaan, FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) berada di sana," katanya ketika dihubungi Bernama.

BACA: Lima parah, dua kumpulan bergaduh di kuil

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan antara dua kumpulan sehingga dilaporkan 18 kenderaan dan beberapa motosikal dibakar.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan telah menahan 17 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut.

Difahamkan kekecohan tercetus berhubung isu perpindahan tapak kuil ke lokasi baharu yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.

BACA: Insiden di kuil tindakan ganas melampaui batas - Mohd Azis

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai yang berkumpul di lokasi sejak petang Isnin bertambah ramai menjelang tengah malam tadi dan enggan berganjak daripada kuil itu.

Terdahulu, sebuah lori diletakkan di tengah jalan raya, dipercayai bertujuan menghalang trak Unit FRU daripada memasuki kawasan berdekatan kuil.

Kira-kira pukul 2 pagi ini, sebahagian orang ramai yang berkumpul di kuil bergerak ke Menara MCT yang menempatkan pejabat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City).

Penginap di sebuah hotel berdekatan Menara MCT yang menempatkan pejabat pemaju One City diminta meninggalkan premis susulan kekecohan kedua yang terjadi awal pagi ini. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Mereka bertindak merosakkan harta benda di pejabat yang terletak kira-kira dua kilometer dari kuil itu, serta memecahkan cermin bangunan dan kenderaan.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat, kumpulan tersebut terus mencetuskan kekecohan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu berjaya dihalang anggota FRU yang sebelum itu ditempatkan di luar bangunan.

Sementara itu, tetamu sebuah hotel berdekatan turut diminta meninggalkan bangunan bagi memastikan keselamatan mereka.

BACA: Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: 17 lelaki tempatan ditahan