Kerajaan negeri Kedah bercadang untuk menyediakan bantuan serta insentif kepada pengusaha ketum di negeri ini yang berhasrat beralih kepada tanaman lain.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata cadangan itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah pada Ahad, susulan pertemuan bersama 52 pengusaha ketum dari Kedah dan Perlis bulan lepas.

Katanya antara cadangan tersebut ialah pemberian subsidi benih, bantuan geran pinjaman, insentif bantuan sara hidup, dan menyediakan platform pemasaran kepada pengusaha memasarkan hasil tanaman masing-masing.

"Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah mencadangkan pembangunan tanaman alternatif melalui pembangunan kapasiti yang berbentuk latihan dan kursus kepada pengusaha tanaman.

"Tanaman gantian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya pengusaha ladang dapat meningkatkan ilmu berkaitan pertanian yang bersesuaian dengan teknologi terkini dengan cadangan tanaman alternatif yang lebih berdaya saing," katanya ketika berucap semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut di Alor Setar.

Turut hadir pada mesyuarat itu Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Mesyuarat itu antara lain turut membincangkan keberkesanan Projek Rintis Menangani Masalah Dadah Substan dan Pelencongan Sosial yang dilaksanakan AADK di Kota Setar, Lubuk Merbau, Padang Terap dan Kuah di Langkawi selama tiga bulan bermula Julai lepas yang menyebabkan penurunan kadar jenayah di ketiga-tiga kawasan itu.

"Hasilnya, seramai 221 penagih juga telah mengikuti program rawatan di tiga kawasan itu, di Lubuk Merbau tiada kes jenayah dilaporkan selepas tiga bulan pelaksanaannya, manakala di Kuala Kedah, jenayah kekerasan menurun sebanyak 55 peratus.

"Di Kuah pula, sebanyak dua sarang penagihan berjaya dimusnahkan manakala masalah ponteng sekolah turut berkurangan sebanyak 20 peratus di Lubuk Merbau, lima peratus di Kuala Kedah dan penurunan 0.5 peratus setiap bulan di Kuah," kata Mukhriz.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Kedah akan dijadikan sebagai model oleh AADK dalam pelaksanaan pembangunan tanaman alternatif sebelum ia diperluaskan ke negeri lain dalam usaha meningkatkan pendapatan pengusaha ketum yang beralih kepada tanaman lain.

"Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz amat komited terhadap usaha berkenaan dan kita perlu lihat dan perhalusi semula pelan terbabit sebelum dapat dilaksanakan dan dijadikan model kepada negeri lain kerana keperluan setiap tanah berbeza dengan jenis tanaman," katanya.

-- BERNAMA