Kedah kekal dengan pendirian menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tegas Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata ini kerana Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah itu sendiri pun sudah bersifat tidak mendiskriminasi mana-mana pihak.

"Jadi sebab itu kita persoalkan apakah perlu kita sekarang ini perlu menerima satu dasar dari luar negara yang mungkin akan membuka peluang kepada perkara-perkara lain yang akan merumitkan keadaan..jadi itu sebabnya kita buat keputusan untuk menolak ICERD.

"Saya fikir kita serah kepada kerajaan persekutuan untuk meneliti dan memberi pandangan mengenai ICERD tapi Kedah sudah pun nyatakan pendirian," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bahawa rundingan mengenai perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysa (PBTLDM) di Institut Pengurusan dan Integiriti Kedah dekat sini hari ini.

Mukhriz sebelum ini berkata tiada keperluan untuk negara meratifikasi ICERD dan meminta ia dikaji sedalam-dalamnya bagi mengelak daripada melanggar perkara-perkara yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan.

--BERNAMA