Semua kedai perkakasan rumah dan menjual alat tukar ganti di Sarawak dibenarkan beroperasi dua kali seminggu pada hari Selasa dan Khamis bermula 7 pagi hingga 7 petang.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) hari ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain dua perniagaan itu, penjualan kedai input pertanian terdiri daripada baja, racun dan makanan haiwan juga dibenarkan beroperasi dalam tempoh sama.

"Semua ini selepas kita mendengar keluhan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Bagaimanapun, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah pencegahan dan hanya membenarkan kedai-kedai ini beroperasi dua kali seminggu iaitu Selasa dan Khamis," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Ahad.

Selain itu, Abdul Karim memberitahu, JPBN Sarawak juga memutuskan mana-mana individu bukan rakyat Sarawak tidak dibenarkan transit di negeri itu menggunakan laluan udara, laut dan darat.

Bukan itu sahaja, beliau juga menegaskan, penerbangan Kuala Lumpur ke Sibu juga dibatalkan sehingga 14 April 2020.

"Pembatalan itu disebabkan kita masih belum mengenal pasti lokasi pusat kuarantin sesuai di Sibu. Sehubungan itu, kita batalkan semua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu hingga 14 April ini," katanya.

Beliau menambah, langkah keenam yang diputuskan jawatankuasa itu ialah pemakluman semua bekalan makanan ke daerah-daerah di seluruh Sarawak telah dihantar mengikut perancangan.