Tutup

Kedaulatan institusi raja akan dipertahan - PM

Kedaulatan institusi raja akan dipertahan - PM
Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan institusi raja rerperlembagaan, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Pada masa sama, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipertahan dan dipelihara.

Selain itu, Perdana Menteri berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Kerajaan Tuanku menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar termasuk dalam bentuk halangan-halangan kepada perdagangan bebas serta ketidakstabilan dalam mata wang global boleh memberi kesan kepada Negara.
"Bagi mengatasi keadaan ini, kerajaan akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut. Di samping itu, usaha-usaha Kerajaan untuk memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara serta melunaskan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat semakin berhasil," katanya semasa menyampaikan ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
 
Menurut Perdana Menteri, pelbagai inisiatif di bawah visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah  mula dilaksanakan bagi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan menyeluruh dan merancakkan pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

"Kerjasama dan sokongan rakyat serta penglibatan semua pihak sangat diperlukan untuk memastikan negara terus makmur dan sejahtera serta dihormati di persada antarabangsa.  Insyaallah, impak positif inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan dapat dirasai rakyat," tambahnya.
 
Kerajaan juga bertekad untuk mengukuhkan pentadbiran berdasarkan kepada prinsip rule of law dan pemisahan kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Selain itu, kekayaan negara akan diurus dan digembleng dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana agar dapat dikecap oleh segenap lapisan rakyat.
"Umumnya rakyat negara ini percaya bahawa perpaduan yang merentasi batas etnik dan agama adalah penting untuk menjadikan Malaysia baharu yang harmoni dan aman damai. Rakyat juga kini semakin matang dalam menghadapi ancaman-ancaman yang mampu memecah belahkan
perpaduan.

"Justeru, kerajaan akan terus memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keharmonian kaum terus dipelihara.

"Anak-anak muda hari ini adalah gambaran negara pada masa hadapan. Oleh itu, penglibatan anak-anak muda dalam merealisasi agenda kerajaan akan diarus perdanakan. Pada masa yang sama, semangat kesukarelawan serta keusahawanan dalam kalangan anak muda akan terus diterapkan
untuk melengkapkan diri mereka dengan nilai-nilai murni, menjadi lebih produktif dan berdaya saing terutama dalam menghadapi perkembangan Revolusi Industri 4.0," kata beliau lagi.

Kerajaan juga, kata Dr Mahathir, akan terus memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dan tidak diabaikan.

"Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap pencemaran alam sekitar akan diambil tindakan tegas yang sewajarnya. Bagi memastikan insiden-insiden seperti ini tidak berlaku lagi, semua pihak harus memainkan peranan penting dalam melindungi dan memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara," ujar beliau lagi.

Tag: Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, ekonomi, kerajaan, rakyat, perpaduan, Malaysia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.