Berikut adalah titah penuh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Salam Sejahtera


Dialah ALLAH, tiada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai; Yang Maha Suci; Yang Maha Sejahtera;
Yang Melimpahkan Keamanan; Maha Pengawal; Maha Kuasa; Maha Kuat; Memiliki segala Kebesaran.
Maha Suci ALLAH dari segala yang mereka sekutukan.

YA MUKMIN, YA MUHAIMIN, YA HAFIZ, YA WALI,

2. Dengan kebesaran Asmaul Husna, sifat-sifat mulia Mu, hamba-Mu melafazkan kalimah syukur atas anugerah rahmat Mu, memungkinkan hamba-Mu menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-63 dalam keafiatan; dilimpahkan hidayat - dikurniakan daulat, bersemayam di takhta pemerintahan dalam suasana negeri yang aman lagi sentosa.

3. Beta hargai lafaz yang dizahirkan oleh Raja Muda, demikian juga ucapan yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, bersetia menjunjung di atas batu jemala, ikrar ketaatsetiaan kepada takhta pemerintahan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Mudah-mudahan terus ditingkatkan wasilah antara Beta dengan rakyat jelata. Telah diamanatkan turun temurun, peringatan kepada pewaris takhta:

“Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul,
Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang,
Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil,
Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata,
Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak,
Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
Malah ungka siamang di hutan juga adalah di bawah jagaan Raja”

Raja adalah payung kedaulatan negeri, membolehkan sekalian rakyat bernaung di bawah kesaksamaan pemerintahan baginda, tanpa mengira kaum – tanpa mengira agama, menjadi jantung hati sekalian rakyat hidup bersatu - erat muafakat.

4. Sejarah sesebuah negeri bermula dengan penyatuan dan permuafakatan rakyat. Negeri tidak mungkin wujud tanpa penyatuan – tanpa permuafakatan dalam kalangan penduduk, yang dirujuk sebagai warga kepada negeri dan rakyat kepada Raja.

Keamanan dan kemakmuran sesebuah negeri amat dipengaruhi oleh suasana hidup rakyat. Bila rakyat hidup dalam muafakat, akan aman suasana negeri.

Suasana aman membolehkan rakyat memberi tumpuan kepada usaha-usaha memakmurkan negeri, bekerja - berladang –- berniaga – beribadah dan pelbagai lagi.

5. Semangat bersatu dan semangat bermuafakat, adalah teras yang menjayakan hasrat untuk membentuk sebuah Persekutuan yang merdeka 62 tahun yang lalu.

Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, yang dilafazkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, bermula dengan kalimah:

“Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi ALLAH yang Maha Berkuasa, dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul Nya”

Pengisytiharan Kemerdekaan diakhiri dengan kenyataan:

“...dengan limpah rahmat ALLAH Subhanahu Wata’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga
dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

6. Pengisytiharan tersebut disambut dengan doa, laungan azan, bedilan meriam, nyanyian lagu Negaraku, dan kibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bacaan doa dipimpin oleh Mufti Negeri Sembilan, Syeikh Ahmad bin Muhammad Said.

Doa yang dipohon, mengandungi 225 perkataan, antara kandungan doa, menyentuh permintaan-permintaan berikut:
“Ya ALLAH! Anugerahkanlah taufik kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya ALLAH! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan ke hadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan.

Ya ALLAH! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia...

Ya ALLAH! ... Harmonikanlah antara kami dan bangsa selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan.

Ya ALLAH! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, ...”
7. “Mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya”, kata-kata George Santayana, seorang ahli falsafah keturunan Sepanyol pada penghujung abad kesembilan belas.

Sejarah bukan ramalan. Sejarah adalah catatan peristiwa yang telah berlaku. Sejarah merupakan rekod yang konsisten, tetap dan tidak berubah, untuk dijadikan perbandingan dan rujukan.

8. ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 99 surah Taha, mengingatkan ummah tentang pentingnya sejarah melalui firman Nya yang bermaksud:

“Demikian kami ceritakan kepada mu (Wahai Muhammad), sebahagian daripada kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada mu, dari sisi kami,
satu peringatan”

9. Pengisytiharan Kemerdekaan dan doa yang dipohon pada pagi 31 Ogos 1957 adalah dokumen sejarah, mengandungi fakta-fakta berikut:

Pertama: Terserlah, elemen agama Islam semasa berlangsungnya acara bersejarah tersebut, berasaskan, pengisytiharan dimulakan dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, disusuli pemujian terhadap ALLAH Subhanahu Wata’ala, selawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, azan dan doa.

Kedua: Dinyatakan secara khusus, Sultan, jemaah menteri, pemimpin serta pentadbir, ada tanggungjawab memelihara agama Islam, keistimewaan umat, menegakkan keadilan berteraskan undang-undang, dan menjadi agen perubahan memajukan orang Melayu.

Ketiga: Keharmonian kaum adalah penting untuk menjamin keamanan dankeselamatan.

Keempat: Doa yang dipimpin oleh seorang mufti, walaupun mengikut ritual agama Islam, turut memohon agar ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan perlindungan dan kesejahteraan kepada kaum-kaum lain.

Kelima: Pentingnya dijamin kebebasan dan keadilan, menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat, serta mengekalkan keamanan antara semua kaum.

10. Doa tersebut dipohon dalam suasana pagi yang bening, oleh hati-hati yang hening, baik daripada kalangan yang secara zahir hadir di Stadium Merdeka, begitu juga yang mengikuti siaran langsung melalui radio.

Sebahagian daripada yang hadir dan yang mengikuti siaran radio, mengalirkan air mata kesyukuran. Beta percaya, ALLAH Subhanahu Wata’ala memakbulkan doa yang dipohon.

11. Dalam tempoh 62 tahun mencapai kemerdekaan, negara dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran, rakyatnya hidup dalam harmoni. Hak rakyat memilih kerajaan terjamin, berlangsung secara teratur dalam 14 pilihan raya umum, dicacatkan sekali apabila tercetusnya peristiwa pertembungan kaum 13 Mei, pasca pilihan raya 1969.

Pembangunan prasarana pesat berlaku, peluang ekonomi terbentang luas, rakyat bebas memiliki harta. Tidak berlaku bencana alam ke peringkat melumpuhkan ekonomi negara dan menjejaskan kehidupan rakyat secara berpanjangan. Bekalan makanan mencukupi, tidak kedengaran rakyat mati kebuluran.

Program pendidikan diluaskan dan pelbagai khidmat sosial disediakan. Kebebasan beragama dijamin, masjid, gereja, kuil dan gudu wara, dibina di serata negara. Walaupun ada kekangan tertentu, tetapi tidak sampai membisukan rakyat, rakyat masih bebas bersuara, media terus diterbitkan.

Keselamatan negara dipertahankan dan keselamatan rakyat dilindungi secara profesional oleh Angkatan Tentera dan Polis Diraja. Terbukti negara memiliki mekanisme yang baik, pemimpin umumnya mengutamakan kerasionalan daripada emosi, membolehkan negara memiliki daya tahan yang mantap untuk menangani pelbagai cabaran ekonomi, sosioekonomi, agama dan kaum.

Segala dan setiap pencapaian, dirintis dan diusahakan secara bersama oleh warga yang terdiri daripada pelbagai kaum – pelbagai agama, hidup secara rukun lagi harmoni.

12. Dalam kesyukuran menyenaraikan kejayaan, satu perkara yang tahap pencapaiannya masih samar dan jika tidak segera ditangani, berkemungkinan menjadi kelam, ialah agenda, membentuk rakyat yang teguh bersatu, menjadi satu warga yang kukuh berpadu kepada sebuah negara merdeka yang berdaulat.

Proses membina warga merdeka yang teguh bersatu - kukuh berpadu, warga yang memiliki satu identiti nasional, tidak boleh ditangguhkan – tidak boleh dikemudiankan, kerana kelangsungan kedaulatan negara merdeka ini, amat bergantung pada warganya yang bersatu dan berpadu.

13. Menteri Dalam Negeri pada era pasca merdeka, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, pada tahun 1960, mengingatkan, bahawa negara ketika itu, menghadapi dua cabaran utama, pertama: komunisme, dan kedua: komunalisme.

Tun Dr. Ismail menegaskan komunisme boleh diperangi secara bersenjata, boleh diletakkan dalam isolasi, dan boleh ditewaskan; di sebaliknya komunalisme, yang boleh memecahbelahkan rakyat, tidak boleh diperangi secara bersenjata, dan tidak boleh diletakkan dalam isolasi, kerana komunalisme itu tumbuh dalam setiap taman kehidupan rakyat. Amaran Tun Dr. Ismail menjadi realiti, apabila tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.

Amaran Tun Dr. Ismail, amat perlu diperingatkan kembali, dalam suasana minda warga yang berlainan kaum – berlainan agama, kelihatan semakin cenderung mencari perbezaan daripada mencari persamaan, lebih mirip melukis sempadan pemisahan daripada mencari titik pertemuan.

14. Setiap negara, pada setiap masa menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman, berbentuk ekonomi, politik, sosial dan ancaman daripada luar, yang boleh menggugat kestabilan dan ketenteraman sesebuah negara.

Cabaran dan ancaman paling dekat, yang sangat kritikal, yang boleh meruntuhkan negara dengan pantas, adalah ledakan lava kemarahan sesama rakyat, berpunca daripada perselisihan kaum – perselisihan agama.

15. Negara kita yang telah dibina dengan falsafah kenegaraan yang begitu baik, sedang menghadapi perkembangan yang boleh mengancam perpaduan warga.

Slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif, dan retorik-retorik atas nama agama yang bernada ekstrem kini kelihatan semakin digemakan.

Slogan dan retorik sedemikian, laksana bara yang mula menyalakan puntung – menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.

16. Dibimbangkan rakyat semakin direnggangkan. Rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan.

Negara ketika ini memerlukan paradigma yang progresif, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka dan curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini.

Kaum, budaya dan bahasa yang pelbagai itu adalah ciptaan ALLAH Subhanahu Wata’ala. Negara Malaysia yang begitu pelbagai rakyatnya, juga ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala. Firman Allah dalam ayat 118 dan 119 Surah Hud, bermaksud:

“Dan kalau Tuhan mu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan mu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia...”

17. Semalam, umat Islam di serata dunia, memperingati ulang tahun hari keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, seorang Rasul yang membuktikan, keadilan adalah faktor yang menentukan penerimaan dan rasa hormat pengikut kepada pemimpin.

Keadilan yang amalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, dinikmati oleh umat Islam dan bukan Islam. Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan beragama, dijamin untuk mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial.

Islam yang Baginda anjurkan, berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan agama yang mahu didampingi, bukan agama yang ditakuti dan agama yang mahu dijauhi.

Oleh itu, amatlah bertepatan untuk pemimpin di semua peringkat, dalam kalangan pemimpin Islam dan juga bukan Islam, menyelami dan menghayati, seterusnya mengamalkan sirah yang telah ditinggalkan, untuk dijadikan panduan, membawa suara kesederhanaan, suara perdamaian dan suara penyatuan.

18. Negara ketika ini, tidak memerlukan panglima untuk berperang, tetapi negara teramat memerlukan diplomat untuk menjalinkan persaudaraan; seorang yang luas lagi jauh pandangannya, matang, sabar, tenang dan rasional pendekatannya, agar melalui kebijaksanaan dan hikmahnya, suhu panas dapat diturunkan, dan negara dapat dihindarkan daripada dilanda bencana, disebabkan perselisihan kaum – perselisihan agama.

YA HADI, YA ALIM, YA MUKMIN, YA KHABIR,

19. Dipohonkan daripada Mu, Ya ALLAH petunjuk dan bimbingan, agar hamba-Mu yang serba daif ini, berupaya menyempurnakan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang mirulmukminin,memayungi negeri – menaungi warga, secara adil – secara saksama.

Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan daripada Mu jua, dan dilimpahi segala keberkatan fiddunia wal akhirat.


Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar
10.11.2019