Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan di Nepal sama ada terdapat rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi yang melanda negara itu hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berkata pihak kedutaan akan berusaha memeriksa semua hospital, klinik dan rumah perlindungan selain mendapatkan maklumat dengan pihak berkaitan bagi memastikan jika ada warga Malaysia yang menjadi mangsa.

"Dalam kes seperti ini, Wisma Putra kena tunggu pengesahan dan pemeriksaan lanjut yang dilakukan pegawai kedutaan kita di Kathmandu yang akan berhubung secara terus dengan polis, hospital, pasukan penyelamat dan sebagainya di Nepal.

"Kadang kala pegawai kedutaan Malaysia juga berdepan dengan kesukaran mendapatkan maklumat di lokasi kejadian atau hospital kerana bencana ini di luar jangkaan dan situasi belum terkawal sepenuhnya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dan bandar Pokhara dengan laporan terkini menyatakan lebih 100 orang terkorban dalam bencana itu.

BACA: Gempa bumi Nepal: Saya dan pasukan KE7B selamat - Muhamad Muqharabbin

BACA: Ratusan maut dalam kejadian gempa bumi di Nepal

Nepal Earthquake
Jumlah kematian dijangka terus meningkat - Foto AFP

Othman berkata jika terdapat rakyat Malaysia yang terlibat, pihak kedutaan akan membantu mereka termasuk dari segi bantuan konsular.