Orang ramai tidak perlu panik dengan kehadiran ratusan ribu cacing di Sekolah Kebangsaan Kuala Ping, Hulu Terengganu kerana ia tidak mendatangkan bahaya kepada manusia, kata seorang saintis.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Izwandy Idris berkata gangguan yang ada hanyalah kepada bentuknya serta bau yang hadir secara semula jadi atau disebabkan cacing telah mati.

Katanya, kemungkinan besar cacing di sekolah itu adalah dari kelas Oligokita atau bahasa tempatan adalah dari kumpulan cacing tanah yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pembiakan (mengawan) berikutan fenomena banjir dan musim tengkujuh.

"Jadi, limpahan air hujan yang lebih banyak daripada biasa menjadi isyarat kepada cacing tanah ini untuk melakukan aktiviti mengawan secara besar-besaran.

"Fenomena ini memang berlaku kepada organisma lain yang mana kitaran reproduksi yang seiring dengan perubahan persekitaran, contohnya ada spesies cacing laut yang hanya mengawan secara besar-besaran dengan berenang di permukaan laut pada musim monsun atau semasa air pasang pada sesuatu tahun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

TONTON: Kampung Tok Lawit dipenuhi cacing

Tambahnya terdapat juga organisma invertebrata lain yang mengawan atau bertelur semasa bulan mengambang dan muncul secara banyak di atas terumbu karang dan melepaskan telur dan sperma secara serentak.

Bagaimanapun, Dr Izwandy berkata kajian ke atas cacing di SK Kuala Ping perlu dijalankan untuk mengetahui sebab sebenar dan mencadangkan sekiranya ia muncul kembali, biarkan sahaja dengan tingkah laku semula jadinya.

"Tidak perlu bunuh dengan air masin. Hanya alihkan dengan air tawar jika mengganggu laluan atau yang telah mati kerana kemungkinan ada telur yang telah disenyawakan di antara cacing-cacing yang telah mati itu.

"Kalau ia ada di dalam saliran pula, selagi ia tidak mengganggu aliran air, biarkan sahaja. Sebab kemungkinan cacing-cacing ini akan masuk semula ke dalam tanah dan sekiranya cacing ini perlu dialihkan, orang ramai boleh gunakan air paip dan alirkan ia ke tanah. Kalau perlu guna kayu, cuba sebaik mungkin untuk tidak mencederakan cacing-cacing tersebut," katanya.

Menurut beliau, cacing tanah sebenarnya membantu meningkatkan kesuburan tanah serta terlibat secara langsung dalam penguraian bahan organik.

Dr Izwandy berkata fenomena sedemikian pernah dilaporkan secara tidak rasmi di Melaka, di Kuala Nerus dan juga di luar negara, di Kuala Ping, ia muncul dengan banyak.

"Memang akan ada orang yang merasakan cacing-cacing ini hanyalah haiwan kecil yang tidak berguna, tapi kami sebagai saintis yang tahu peranan cacing tanah, sangat menghargai kehadirannya.

"Sebenarnya fenomena cacing di SK Kuala Ping itu sangat bagus untuk aktiviti pembelajaran sains di sekolah tersebut kerana guru-guru Sains boleh gunakan kehadiran cacing tersebut sebagai bahan pembelajaran", katanya.

Sementara itu, cacing yang membanjiri sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Ping telah dibersihkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta anggota Pejabat Kesihatan daerah Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tok Lawit Suhaimi Ali berkata kerja pembersihan telah bermula sejak semalam dan setakat ini tiada lagi cacing yang keluar dari rumput-rumput dan longkang di sekitar kawasan sekolah dan kampung.

"Semalam kerja-kerja menghapuskan cacing dah dibuat oleh pihak bomba dan kesihatan...mereka letak air garam dan longkang dibersihkan setelah cacing tersebut mati," katanya.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata kehadiran cacing dengan jumlah yang begitu banyak buat kali pertama di kampung tersebut tidak menjejaskan penduduk kampung dan sesi pembelajaran di sekolah.

"Pihak kesihatan ada mengambil sampel cacing ini semalam dan sebenarnya ia tidak menjejaskan apa-apa, cuma penduduk risau sebab ini kejadian pertama kehadiran cacing dengan jumlah yang sangat banyak," katanya.

-- BERNAMA