Polis tidak menemui sebarang unsur khianat dalam kes peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Malah, kertas siasatan yang dibuka mengenai kes orang hilang itu juga telah hampir lengkap.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut untuk mencari apa juga kemungkinan.

“Daripada siasatan kita, daripada segi kalau-kalau ada foul play, kita melihat memang tak ada foul play. Kita lihat telefon, akaun bank, pergerakan kereta, masih lagi macam tidak terusik,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program derma darah sempena Sambutan Hari Polis ke-212 di Ipoh, pada Selasa.

Menurutnya, polis telah merakam perbualan lebih tujuh saksi termasuk penganjur, rakan-rakan serta keluarga mangsa.

Katanya, polis juga akan meneruskan operasi pencarian Sabtu ini di kawasan baharu yang belum dicari sebelum ini.

Beliau menasihatkan kumpulan atau individu yang ingin membantu operasi pencarian supaya melaporkan kepada pihak polis atau bomba terlebih dahulu.

“Mana-mana kumpulan ataupun siapa-siapa juga individu yang cuba untuk mencari, kita nasihatkan pergi berjumpa dengan pihak kita dan juga bomba,” ujarnya.

Razarudin dalam pada itu menafikan kononnya Mohamad Ashraf telah ditemui seperti yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara-perkara seumpama itu yang tiada fakta kerana ia boleh mengguris hati keluarga mangsa.