Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memberikan bukti yang menunjukkan Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis Amri Che Mat.

Dr Mahathir berkata dakwaan SUHAKAM akan dianggap khabar angin jika tiada bukti.

“Mereka (SUHAKAM) perlu kemukakan bukti. Setakat ini ia hanya sekadar khabar angin.

“Dan ingat ini tidak berlaku ketika kerajaan kini sebaliknya ia berlaku ketika kerajaan terdahulu," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Rabu.

Dr Mahathir juga menjelaskan kerajaan sedia menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk kes ini jika SUHAKAM dapat mengemukakan bukti yang kukuh.

"Saya tidak tahu jika mereka ada bukti untuk dikemukakan dengan apa yang berlaku sudah tentu kami sedia untuk tubuhkan pasukan petugas khas.

“Biarkan Ketua Polis Negara sekarang ini bersara dahulu dan kita serahkan kepada Ketua Polis Negara yang baharu untuk teruskan,” katanya lagi.

Sebelum ini, SUHAKAM mendakwa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab di atas kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis Amri Che Mat.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan rumusan panel inkuiri awam yang dibentangkan pada Rabu.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai bersama anggota panel, Prof. Datuk Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila membentangkan hasil inkuiri awam itu.

Panel SUHAKAM menegaskan bahawa kehilangan kedua-dua individu tersebut bukan kes kehilangan secara sukarela, tetapi secara paksaan yang melibatkan campur tangan ajen-ajen kerajaan, khususnya daripada Cawangan Khas, Bukit Aman.