Dewan Rakyat kecoh petang ini akibat kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin mengeluarkan kenyataan berunsur seksis.

Ia bermula selepas Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengajukan soalan kepada Hanipa pada perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019.

“Saya tengah pasang cermin mata nak tengok YB Timbalan Menteri (Hanipa) dengan begitu jelas yang kadang-kadang nampak kecil kadang-kadang nampak besar...,” katanya memulakan persoalan.

Tatkala bangun menjawab persoalan yang dikeluarkan, ayat yang terpacul dari mulut Hanipa mencetuskan provokasi.

“Pengerang (Azalina) kata saya kadang nampak gemuk, kadang nampak kurus kan.

"Macam Pengerang juga la. Kejap nampak macam perempuan, kejap nampak macam lelaki. Minta maaf, mintak maaf,” ujar Hanipa.

Tindakan itu menyebabkan Ahli-ahli Parlimen di blok pembangkang bangun berdiri dan membidas tindakan yang dibuat oleh Hanipa tersebut.

Antara yang bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat adalah Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang secara jelas menyatakan bahawa kenyataan Hanipa itu berunsur seksis.

“Pada penggal lalu, saya dalam Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat. Kenapa kita pinda peraturan masyuarat? Supaya tidak ada kenyataan berunsur seksis.

“Timbalan Menteri (Hanipa) secara jelas telah buat satu kenyataan seksis dan mempersoal jantina seseorang. Memang tidak betul. Ini memang kenyataan seksis dan perlu ditarik balik,” kata Ka Siong.

Sehubungan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Hanipa menarik balik kenyataan itu.

Akur dengan arahan, Hanipa menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.

Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan itu berpandangan supaya Hanipa henti menggulung dan Dewan Rakyat terus membuat keputusan.

Pertikaman lidah itu berlangsung hampir 30 minit sebelum Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mhd Ariff Md Yusof mengambil alih Rashid dan mengarahkan supaya loceng selama dua minit dibunyikan untuk proses pengundian pemansuhan akta itu.