Jumlah tangkapan individu yang disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields, USJ 25, Subang Jaya pada minggu lalu, meningkat kepada 106 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tujuh daripada 66 suspek yang diburu pihak polis telah tampil memberi keterangan kepada PDRM.

"Proses merakam keterangan Muhammad Adib (Anggota Bomba cedera dipukul) masih belum boleh dilaksanakan atas faktor kesihatan beliau masih tidak mengizinkan, jika dia dah sihat kita akan rakamkan keterangan.

"Kita tidak dapat pastikan lagi siapa yang pukul Muhammad Adib, tapi usaha ke arah itu sedang dijalankan oleh 'Task Force' yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berkhatan Perdana anjuran PDRM di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Perhimpunan Kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan hari ini, Fuzi berkata setakat pagi ini seramai 5,000 peserta telah mula berkumpul.

BERITA LANJUT MENYUSUL