Kekecohan yang tercetus dalam program Nothing to Hide 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam hari ini didakwa perbuatan yang sengaja mahu mensabotaj perjalanan acara, selain membuat serangan yang ditujukan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian dalam satu sidang media pada jam 6.30 petang di lokasi tersebut.

"Perbuatan membaling kerusi dan suar itu dilihat dilakukan ke arah hadapan pentas, menunjukkan bahawa mereka sengaja mahu (mensasarkan) Tun Mahathir Mohamad," ujarnya.

Menurutnya, majlis yang bermula sekitar jam 4.10 petang itu berjalan lancar dan berlangsung lebih sejam setengah sebelum tercetusnya kekecohan.

Syed Saddiq juga mendakwa perbuatan itu dilakukan mereka yang menyamar dalam kalangan ahli-ahli Armada.

"Perbuatan dilakukan pihak yang memakai baju tertera 'Armada' tetapi bukan baju yang dikeluarkan oleh pihak kami.

"Ada (saksi) yang melihat mereka (pembuat kecoh) segera menanggalkan baju 'Armada' yang mereka pakai selepas melakukan kekacauan," dakwa Syed Saddiq.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya mengacam perbuatan tersebut walau apapun latar belakang parti pelakunya, selain meminta pihak berkuasa terus menjalankan siasatan.

Kekecohan itu bermula dengan insiden membaling kerusi dan baling botol air ketika Tun Dr Mahathir menjawab soalan peserta mengenai tragedi Memali yang berlaku ketika zaman pemerintahan bekas perdana menteri itu.