Individu bernama Tok Anjang, Shap, Lekir dan Rambo, antara 14 penyokong bola sepak yang diburu polis bagi siasatan berhubung insiden kekecohan di Stadium Shah Alam ketika Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Assisten Komisioner Shafien Mamat memaklumkan, mereka dipercayai dalang atau perancang utama yang menimbulkan kekecohan ketika perlawanan berkenaan.

Mereka dipercayai pemimpin kumpulan penyokong Ultras Selangor.

"Pihak polis juga sedang memburu pemimpin Ultras Selangor yang dikenali sebagai Tok Anjang dan juga Shap.

"Kedua-dua mereka diminta tampil atau datang ke balai bagi kita dapatkan keterangan kerana dari keterangan yang kita peroleh, kedua-dua orang ini juga merupakan perancang utama dalam insiden yang lepas," jelas Shafien.


Sementara itu dalam satu sidang media berasingan, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat memaklumkan polis turut menubuhkan pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah bagi mengesan kesemua individu berkenaan.

Pasukan sama turut menyiasat bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab membawa masuk barang larangan seperti suar dan mercun ke dalam stadium.

Siasatan dijalankan dengan meneliti rakaman insiden yang diperoleh daripada pihak polis, media dan orang ramai.

Abdul Samah juga mengesahkan sehingga kini tidak menerima sebarang laporan daripada penyokong Arab Saudi berhubung kekasaran penyokong pasukan Harimau Malaya ketika kekecohan berlaku.

Pada Selasa, 11 penyokong bola sepak tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kekecohan berkenaan.

Mereka direman selama tiga hari mulai Rabu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.