Nama kelab yang dikhususkan kepada Anggota Dewan Rakyat daripada parti kerajaan kini dikenali sebagai Majlis Ahli-ahli Backbencher (eng: Backbenchers Council).

Ketua Penyelaras Majlis Ahli-ahli Backbencher Ong Ooi Heng berkata nama lama bagi kelab itu iaitu Kelab Penyokong Kerajaan kini tidak lagi digunakan.

"Singkatannya adalah BBC dan bukan PHBBC. Hal ini kerana anggota Majlis Ahli-ahli Backbencher adalah termasuk ahli-ahli Parlimen yang tidak berada dalam komponen Pakatan Harapan seperti Warisan (Parti Warisan Sabah)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul bertindak sebagai Pengerusi BBC sementara Anggota Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng sebagai Timbalan Pengerusi.

Anggota Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang pula ialah Setiausaha majlis itu.

Selain itu, semua whip parti adalah anggota jawatankuasa BBC, kata Ong.

-- BERNAMA