Kerajaan Kelantan turut mengikut langkah kerajaan negeri lain mengumumkan pemberian bonus Hari Raya berjumlah RM500 kepada kakitangan awam.

Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, bonus tersebut akan dibayar sebelum Aidilfitri atau minggu hadapan.

"Seperti kerajaan negeri lain, Kelantan turut berbuat demikian, mengumumkan pemberian bonus RM500 kepada penjawat awam," katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung pembayaran royalti minyak sudah diselesaikan.

Menurut Ahmad, Penasihat Undang Undang kerajaan negeri bagaimana pun memaklumkan saman ke atas kerajaan pusat belum dapat diselesaikan sepenuhnya, walaupun penarikan sudah dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Ada perbincangan lanjut di antara pejabat peguam negara dengan pihak kerajaan negeri Kelantan. Masih belum selesai lagi penarikan balik saman ke atas kerajaan pusat; yang selesai kini dengan Petronas," katanya.

Pada 7 Mac lalu, Kerajaan Persekutuan memaklumkan pihaknya akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas penarikan saman terhadap mereka dan Petronas selesai.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan memfailkan saman dengan menamakan Petronas sebagai defendan kerana mendakwa syarikat minyak berkenaan melanggar kontrak pembayaran royalti kepadanya berhubung pendapatan minyak.

Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan kemudian berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.