Prosedur operasi standard (SOP) Parlimen menyaksikan perubahan ketara terutama melibatkan media dan pegawai-pegawai Ahli Parlimen.

Media kini hanya ditempatkan di Pusat Media Parlimen dan tidak dibenarkan lagi berada di lobi utama Parlimen, sekaligus tiada lagi sesi ‘door stop’ atau ‘jolok’ antara media dan Ahli Parlimen.

Malah, jika mana-mana Menteri, Timbalan atau Ahli Parlimen ingin mengadakan sidang media, mereka perlu melakukannya di Pusat Media Parlimen.

Normal baharu susulan penularan COVID-19 juga memerlukan pihak media untuk mendaftar lebih awal, menggunakan aplikasi MySejahtera dan pemeriksaan suhu dan keselamatan di pintu masuk.

Malah, tempat duduk kerja dan ruang sidang media juga perlu dijarakkan seiring amalan penjarakan sosial.

Lobi utama kini hanya boleh diakses oleh Ahli-ahli Parlimen sahaja.

Malah, para pegawai juga tidak dibenarkan untuk memasuki ruang itu, sebaliknya hanya dibenarkan berada di bangunan baharu Parlimen, yang menempatkan ruang pejabat Ahli-ahli Parlimen.