Kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan bagi aktiviti solat berjemaah di masjid ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkemungkinan ditarik semula sekiranya terdapat kawasan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan menantikan laporan daripada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandangkan hari ini merupakan hari pertama ia dilaksanakan.

“Hari ini merupakan hari pertama tetapi sekiranya banyak kawasan yang langgar SOP tidak mustahil kelonggaran ini ditarik balik, kita juga akan nasihat pihak masjid jika kawasan mereka terdapat kes tertentu untuk patuh SOP.

“Kita tak akan tarik semula kelulusan melibatkan semua masjid, bagaimanapun perkara ini bergantung kepada Menteri (Hal Ehwal Agama) kita masih menunggu laporan untuk perkembangan hari pertama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tegasnya lagi, tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk mengubah SOP yang telah ditetapkan bagi kelonggaran aktiviti solat berjemaah di masjid sepanjang PKPB termasuk untuk melakukan aktiviti solat berjemaah di kawasan luar masjid.

“SOP yang kita buat telah dapat persetujuan menerusi mesyuarat, termasuk ketua agama bagi setiap negeri, tidak boleh sewenang-wenangnya untuk ubah SOP yang telah kita tetapkan,” katanya lagi.