Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan yang mereka hari ini mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.

Anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31, dalam satu kenyataan malam ini berkata petisyen itu dibuat "bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan."

"Kami meletakkan keyakinan kepada proses perlembagaan ini serta percaya prinsip keadilan akan ditegakkan apabila kesemua fakta-fakta diteliti secara menyeluruh tanpa campur tangan politik maupun mana-mana cabang kerajaan bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui institusi Raja Berperlembagaan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tindakan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Datuk Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen tersebut untuk Yang di-Pertuan Agong kepada pegawai Istana Negara di sini petang tadi.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan malam ini turut mengesahkan menerima salinan petisyen pengampunan itu.

Pandikar Amin berkata berikutan itu, status Anwar sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen berkenaan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Beliau secara automatik akan hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh jika tidak memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Penasihat PKR itu mempunyai tempoh 14 hari bermula dari tarikh beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara, untuk memfailkan petisyen pengampunan.