Ahli keluarga Kho Jabing yang dijatuhkan hukuman gantung kerana menyebabkan kematian seorang warga China, Cao Ruyin pada tahun 2007, dijangka akan meminta bantuan wakil rakyat di Sarawak dalam usaha untuk merayu agar hukuman ke atasnya diringankan.

Adik Jabing, Jumai dan ibunya, Lenduk yang berada di Singapura, bakal bertolak ke Kuala Lumpur pada Rabu dan dijadualkan bertemu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketua Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider.

Mereka berharap agar Tan Sri Muhammad Shafee dapat menyerahkan surat rayuan kepada negara Asean, meminta sokongan mereka untuk pengampunan Jabing.

Mahkamah Rayuan Singapura meluluskan permohonan menangguhkan hukuman gantung terhadap Jabing, 24 jam sebelum hukuman dijalankan.

Bagaimanapun, sokongan yang diharapkan keluarga Jabing menerima reaksi yang tidak begitu baik daripada beberapa wakil rakyat, menurut peguam, Ngeow Chow Ying.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi Singapura mengkaji semula kes Jabing dan telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 kali sebatan.

Ia bagaimanapun hanya bersifat sementara apabila Mahkamah Rayuan mengenakan semula hukuman mati.