Keluarga Jari Abdullah, nelayan tempatan yang diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 5 Dis lalu, merayu agar kerajaan menyelamatkannya secepat mungkin.

Isterinya, Nadin Junianti Najiri berkata, dia kini bingung dan buntu kerana tidak menerima sebarang khabar berita daripada suaminya sehingga kini.

Sebelum ini, dilaporkan Jari, 34 tahun, diculik bersama dua lagi nelayan, Heri Ardiansyah, 19 tahun, dan Hariadin, 45 tahun.

BACA: Bukan empat tetapi tiga nelayan yang hilang

"Kami hanya tahu Hariadin diculik selepas Hariadin hubungi isterinya. Tetapi sehingga sekarang, kami masih tiada dengar khabar berita dari Jari," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Sim-Sim Sawmill, pagi tadi.

Menurutnya, mereka hanya mampu berdoa agar suaminya balik dalam keadaan selamat.

"Tiga orang anak-anak saya juga sentiasa bertanya setiap hari di mana bapa mereka.

"Bukan itu sahaja, kami turut mengalami masalah kehabisan belanja harian," kata Nadin Junianti, sambil menambah, mereka kini hanya mengharap bantuan jiran.

BACA: Ibu kru kapal yang hilang sebak mengenang anak

Ujarnya, dua anaknya juga akan memulakan persekolahan tahun depan dan mereka tidak mampu untuk membuat apa-apa persiapan.

Lebih parah, mereka juga berdepan masalah hilang tempat tinggal selepas rumah yang mereka bina di kawasan setinggan sudah diberikan notis untuk dirobohkan dengan segera.

Sementara itu, ibu kepada Jari, Zuana Laudianto berkata, mereka tidak mampu untuk menyewa kerana tidak berkemampuan.

Katanya, mereka kini hanya mampu bersabar dengan segala dugaan.