Polis Pahang membongkar kegiatan seorang lelaki berumur 21 tahun yang belajar selok-belok memproses dadah jenis syabu melalui Internet dan kemudian membuka makmal haram di rumahnya di Kuantan.

Dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Haji Ahmad itu, polis menahan tujuh sekeluarga serta seorang warga asing yang bekerja di kedai makan milik keluarga berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata siasatan awal polis mendapati kegiatan memproses dadah sintetik itu didalangi oleh pemuda berkenaan.

"Suspek mengatakan proses ini dijalankan sejak dua bulan lepas. Dia kata dia belajar melalui Internet," katanya dalam sidang media di Kuantan.

Siasatan polis juga mendapati bapa suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk tiga kali pernah ditahan.

Tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan itu juga didapati positif dadah jenis syabu.

Semua mereka ditahan reman selama seminggu sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Serbuan polis itu merampas sejumlah syabu yang siap diproses dan yang belum masak serta bahan kimia dan peralatan memasak dadah.

Polis menganggarkan bahan-bahan itu boleh menghasilkan dadah jenis syabu yang bernilai lebih RM270,000.

Polis turut menyita tiga buah kereta dan dua buah motosikal bernilai hampir RM50,000.