Timbalan perdana menteri hari ini memaklumkan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din akan dikebumi di San Francisco atas permintaan keluarga Allahyarham sendiri.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan terbaharunya di akaun Twitter rasmi beliau berkata telah berhubung dengan keluarga Allahyarham dan dimaklumkan tentang perkara itu.

"Baharu bercakap dgn keluarga TG Dt Dr Harun Din. Keluarga sepakat pengkebumian di San Francisco. Solat jenazah di Masjid AnNur di sana," kata Datuk Seri Ahmad Zahid.


Terdahulu Ahmad Zahid menerusi catatan terbaharunya dalam laman Twitter rasminya berkata beliau dan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menguruskan penghantaran jet ke Amerika Syarikat bagi membawa pulang jenazah Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din ke Malaysia.


Ahmad Zahid berkata beliau sekeluarga berasa dukacita dengan pemergian tokoh Islam negara itu dan mendoakan beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama hamba-Nya yang soleh.

"Saya sekeluarga turut dukacita atas kembalinya Datuk Dr Harun Din. Saya bercakap dgn isteri beliau. Perdana Menteri dan saya sudah urus jet bawa jenazah pulang.

"Semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hambanya yg soleh. Al Fatihah," katanya.


Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.