Keluarga Stephen Warde menawarkan wang ganjaran US$5,000 (RM20,560) untuk maklumat yang boleh mengesan lelaki warga Ireland itu yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak 1 Januari lalu.

Memetik laporan The Star, abangnya Donal Warde, 34 tahun, dilaporkan berkata kali terakhir Stephen dilihat melalui rakaman CCTV di luar Mercu Summer Suites di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 29 Dis lalu.

Stephen, 32 tahun, dipercayai menyewa sebuah unit di situ sejak dia memasuki Malaysia sebagai pelancong pada 15 Nov lepas.

Donal berkata, kali terakhir Stephen menyemak aplikasi WhatsAppnya pada 1.30 pagi pada 2 Jan.

BACA: Lelaki Ireland hilang dipercayai masih di Malaysia

Donal bersama ibunya, Mary Morrissey, dan adik-beradik Stephen lain kini di Kuala Lumpur untuk membantu polis mengesan Stephen.

Sementara itu, portal The Irish Times melaporkan, Stephen pernah dilihat dua kali di sebuah kawasan pinggir bandar kira-kira 15km dari Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun Jabatan Perhubungan Luar Ireland enggan mengulas tentang dakwaan itu.

Lelaki yang bekerja dalam industri e-perdagangan itu dikatakan memiliki ketinggian 5 kaki 11 inci (180cm), rambut berwarna coklat gelap dan mempunyai mata berwarna coklat.

Difahamkan, Stephen pernah melawat Malaysia sekurang-kurangnya sekali sebelum ini.

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang lokasi Stephen boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.