Keluasan hutan simpan Perak yang dimansuh berkurangan - Zambry

Keluasan hutan simpan Perak yang dimansuh berkurangan - Zambry
Zambry berkata, di bawah pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar, bukan hanya hutan simpan dikekalkan, malah keluasannya ditambah 24,000 hektar lagi. - Gambar hiasan
MANJUNG: Kerajaan negeri Perak berjaya mengurangkan kawasan hutan simpan yang dimansuhkan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, seluas 3,847 hektar hutan simpan dikeluarkan daripada pewartaan pada 1998 untuk tujuan penempatan dan pertanian rakyat.

Katanya, kawasan itu diberikan kepada rakyat yang telah tinggal di kampung-kampung di situ selama 40 tahun, di samping rakyat yang mengusahakan rancangan tanah pertanian berkelompok.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, hasil kajian semula yang dibuat pada 2013 mendapati, jumlah kawasan itu telah dikurangkan.
"Sepatutnya golongan-golongan yang dipanggil 'environmentalist' berterima kasih kepada saya kerana mengurangkan lagi kawasan itu dan menyelamatkannya.

"Tetapi digambarkan saya telah merosakkan kawasan (hutan simpan), sedangkan Perak adalah negeri yang tertinggi sekali yang mengekalkan hutan simpan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis minum petang bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Parlimen Lumut di sini, pada Khamis.

Zambry mengulas mengenai isu yang tular di media sosial sejak Rabu, kononnya beliau memansuhkan 3,847 hektar hutan simpan di Perak.

Katanya, di bawah pentadbiran beliau, bukan hanya hutan simpan dikekalkan, malah keluasannya ditambah 24,000 hektar lagi, termasuk hutan di Teluk Muroh.

Ekoran isu yang menjadi tular itu, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham akan membuat sidang media mengenainya hari ini.

"Biasalah dalam politik, kalau boleh hentam, balun, belasah dulu, lepas tu belakang kira," kata Zambry.

Untuk rekod, Perak mempunyai hutan simpanan kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 997,623.86 hektar.

Keluasan itu meliputi 47.45 peratus daripada keluasan negeri ini di samping memenuhi piawaian Sijil Pengurusan Hutan, MC & I (hutan kekal) di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS).