Kem Majidee ditutup secara rasmi pada Sabtu

Kem Majidee ditutup secara rasmi pada Sabtu
Kem Majidee akan berpindah ke Banang, Batu Pahat dan pembinaan kem baharu. - FotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Sayu. Itulah perasaan yang terpancar di wajah sebilangan anggota tentera darat berikutan penutupan secara rasmi Kem Majidee, antara kem tertua di Malaysia, hari Sabtu.

Terletak di antara Jalan Bakar Batu dan Lebuhraya Tebrau, kes seluas kira-kira 132 hektar itu beroperasi selama 74 tahun sejak penubuhannya pada Mac 1940.

Kem Majidee turut menjadi perintis kepada pasukan Komando, pasukan elit tentera darat-Rejimen Gerak Khas yang sehingga kini menjadi kebanggaan tentera darat.

Kem itu akan berpindah ke Banang, Batu Pahat dan pembinaan kem baharu di atas tapak seluas 140 hektar dijangka membabitkan kos kira-kira RM126 juta.

Sejumlah 2,500 anggota daripada pelbagai pasukan terlibat dengan perpindahan ke kem-kem lain berikutan penutupan kem ini.
Bagi Mejar Mohd Ziarul Aflah Mohd Fadzil daripada Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Tebrau, kehidupannya sebagai askar bermula di Kem Majidee apabila beliau menjalani pemilihan pada 1998 ketika berusia 21 tahun.

"Setiap askar pasti melalui saat yang sama dalam kehidupan mereka iaitu menjejakkan kaki di kem ini sebelum memulakan kehidupan seterusnya sebagai seorang askar," kata beliau ketika mengimbas kembali kenangannya di kem itu.

Kapten Boniface Anak George pula mempunyai kenangan manis ketika zaman kanak-kanak semasa tinggal di kem itu selama tiga tahun mengikuti bapanya yang berkhidmat di Batalion 2, Rejimen Renjer Diraja.

Boniface, 35, bersama-sama Mohd Ziarul, turut menjalani latihan pada tahun yang sama dan di kem yang sama.

Ketua Kompeni Bantuan bagi Satu Renjer Kem Ulu Tiram itu adalah antara sebahagian anggota tentera dan keluarga yang hadir pada Istiadat Paluan Berundur, tradisi simbolik sempena penutupan Kem Majidee secara rasmi hari ini.

Istiadat itu dimulakan dengan pertunjukan pancaragam gabungan Rejimen 5, 10, 14 dan 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang memainkan lagu seperti Adik Sayang, Tari Tualang Tiga, Inilah Barisan Kita sambil menari.

Ini disusuli dengan persembahan pantomen berkisar tentang sejarah Kem Majidee dengan anggota-anggota tentera melakonkan semula babak-babak penyerahan Kem Majidee oleh askar Jepun kepada Angkatan Tentera British dan penyerahan kem itu kepada kerajaan Malaysia pada 11 Nov 1957.

Tiupan tetuang (trumpet) mengalunkan lagu 'The Retreat' berkumandang serentak dengan penurunan bendera semua pasukan yang secara simboliknya menandakan selesainya tugas-tugas am untuk hari itu.

Deklamasi sajak bertajuk 'Nafas Terakhir Majidee' hasil nukilan Lt Shaiful Ridzuan Abdul Rahim dipersembahkan oleh Mejar Mohd Radzi Othman, daripada Rejimen 10 RAMD.

Istiadat berakhir dengan penyerahan bendera pasukan kepada pegawai pemerintah dan teriakan gempur wira sebanyak tiga kali.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima 3 Divisyen Mejar Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Panglima 7 Briged Brigedier Jen Ab Aziz Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim.