Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kem pemerdagangan manusia berpotensi jadi destinasi pelancongan - Shahidan

Kem pemerdagangan manusia berpotensi jadi destinasi pelancongan - Shahidan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhasrat untuk menjadikan sebuah kem yang dijumpai di sempadan Thailand-Malaysia sebagai suatu destinasi pelancongan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebuah kem pemerdagangan manusia yang dijumpai di sempadan Thailand-Malaysia berpotensi dijadikan sebagai destinasi pelancongan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata demikian kepada pemberita setelah melihat sendiri keunikan kem terbesar daripada 16 kem yang ditemukan di Perlis yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Kem itu sangat cantik, tiga kali lebih besar daripada kem yang ditemui sebelum ini.

“Besarnya hampir sebesar padang bola dan terdapat masjid, surau, rumah imam, kebun sayur serta kemudahan lain.
“Kami menemui tin bir dari Thailand, daun terup yang menunjukkan adanya komuniti besar yang tinggal di situ,” kata Shahidan sepertimana dilaporkan beberapa portal media.

Shahidan juga berkata dengan menjadikan lokasi itu sebagai lokasi pelancongan, kegiatan pemerdagangan manusia juga dapat dielakkan kerana lebih ramai orang akan keluar masuk tempat itu.
Shahidan berkata beliau tidak rasa kem itu dibina oleh warganegara Malaysia melainkan mereka komunis dan struktur binaan di situ menunjukkan kepakaran.

“Pihak polis hanya memproses satu kem pada satu-satu masa dan mereka masih belum memproses kem ini lagi.

“Saya bagaimanapun, meminta pihak polis untuk memproses kem ini dengan cepat dan untuk membuktikan perkara ini bukan didalangi oleh rakyat Malaysia.

Shahidan turut berkata beliau akan berbincang dengan polis dan kerajaan Perlis untuk mengekalkan struktur binaan di situ.

Sementara itu, Shahidan berkata satu program penanaman semula pokok di seluruh kawasan kawasan penemuan kem dan kubur dipercayai milik pelarian Rohingya akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Shahidan berkata, penanaman itu akan dimulakan secara berperingkat sehingga kawasan tersebut menjadi hutan semula.

Shahidan memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis bagi menjayakan program tersebut.

Pihaknya juga akan menyediakan sejumlah peruntukan kepada Jabatan Perhutanan.

Shahidan yakin, penanaman semula pokok hutan di kawasan kem berkenaan dapat menutupi kisah kekejaman yang dilakukan terhadap pendatang yang menjadi mangsa dalam sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia itu.