Salah seorang mangsa yang meninggal dunia Noriah Kasa dilaporkan sempat menghubungi anak sulungnya meminta tolong selain memberitahu kakinya tersepit dalam kemalangan di KM147 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Plaza Tol Juru, di sini hari ini.

Menurut anak saudara arwah, Muhammad Shahsalzuan Zainal Abidin, 30, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh anak sulung Noriah, 40.

"Arwah Noriah sempat menghubungi anak sulungnya meminta tolong dan memberitahu kakinya tersepit dalam kemalangan itu sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ)," katanya ketika ditemui pemberita di hospital di sini pada Selasa.

Muhammad Shahsalzuan berkata, ibu saudaranya itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik sebelum kejadian dan berperwatakan biasa selain kelihatan riang.

Selain itu, anak bongsu Noriah, Zarul Haziq Zuryanidufizan, 12, berkata kali terakhir dia bertemu dengan ibunya ketika Noriah datang melawat di Madrasah Darul Furqan Sungai Rusa, Balik Pulau Sabtu lepas.

Zarul Haziq, yang kelihatan tenang ketika ditemui media hari ini, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Noriah oleh kakaknya.

"Kali terakhir jumpa ibu pada Sabtu lalu. Ibu pesan jaga diri dan arwah bawa makan selain membelikan makanan keperluan untuk simpanan," katanya.

Zarul Hasiq berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh memandangkan ia merupakan kehendak arwah ibunya yang mahu dia belajar di sekolah tahfiz.

Sementara itu, seorang mangsa kemalangan yang terselamat, Nur Shakirah Ishak, 40, berkata Noriah ada memberitahu kakinya sakit gagal bergerak dipercayai akibat tersempit ketika kejadian tersebut.

Nur Shakirah berkata, dia berjaya keluar dan memaklumkan kepada pemandu mengenai nasib yang menimpa Noriah sebelum diminta menunggu bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memotong bahagian bas yang menghimpit arwah.

"Apabila saya keluar dari pintu belakang bas kilang itu, saya terkejut hingga menggeletar apabila melihat mayat-mayat bergelimpangan," katanya.

Nor Shakirah cedera di bahagian mata kiri dan beberapa anggota lain dan kini menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSJ.

Nor Shakirah antara mangsa yang terselamat dalam kemalangan dua buah bas kilang yang mengorbankan lapan pekerja kilang wanita warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

Dalam kemalangan jam 6 pagi itu, bas yang membawa pekerja kilang barangan elektronik terdiri daripada warga Indonesia dan Nepal telah berhenti di lorong kiri kerana mengalami kerosakan enjin sebelum dilanggar bas membawa pekerja tempatan dari Parit Buntar menuju ke Bayan Lepas di sini.

Seramai 44 penumpang bas dilaporkan cedera dengan sembilan daripadanya cedera parah. Tujuh lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.