Dua lagi mangsa kemalangan yang melibatkan empat kenderaan di Kilometer 32, Jalan Langkap - Kampar berhampiran Klinik Desa Tanjung Keramat dekat sini pagi ini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Ia menjadikan mangsa maut meningkat kepada tiga orang selepas seorang maut di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 10.30 pagi.

Kemalangan itu melibatkan dua buah kereta, sebuah pacuan empat roda dan sebuah lori muatan tanah.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, polis turut menahan pemandu lori berumur 36 tahun untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dan kereta Suzuki Swift dari arah Langkap hendak menghala ke Kampar.

“Apabila sampai di tempat kejadian lori dipercayai telah terlanggar belakang kereta itu yang hendak membelok ke kanan memasuki simpang Klinik Desa Tanjung Keramat menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terlanggar pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan dan terjatuh ke dalam parit.

“Lori berkenaan pula terbabas dan terlanggar kereta Proton Saga yang berada di belakang pacuan empat toda sebelum terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit ialah penumpang Suzuki Swift, suri rumah berumur 19 tahun.

Mohd Marzukhi berkata, dua mangsa yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan ialah pemandu Suzuki Swift, seorang pesara wanita berumur 62 tahun dan seorang wanita mengandung 35 minggu yang berumur 38 tahun.

Katanya, kemalangan turut menyebabkan dua mangsa cedera, termasuk bayi berusia 8 bulan yang menaiki Suzuki Swift manakala dua tidak cedera, termasuk pemandu lori.

Menurutnya, pemandu Proton Saga bagaimanapun belum dikenalpasti kerana masih belum dapat dikesan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.