Tutup

Kemalangan kereta peronda, tiga kenderaan, dua anggota polis cedera

Kemalangan kereta peronda, tiga kenderaan, dua anggota polis cedera
Pelanggaran itu menyebabkan kereta peronda terseret sehingga melanggar lampu isyarat sebelum terlambung ke atas sebuah kereta Proton Waja yang juga sedang berhenti di lampu isyarat. - Foto PDRM
IPOH: Dua anggota polis cedera dalam kemalangan yang melibatkan kereta peronda dan tiga kenderaan lain di lampu isyarat di persimpangan Jalan Kuala Kangsar - Jalan Perindustrian Kanthan 1, dekat sini, pada Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira 6.25 petang apabila sebuah lori dari arah Chemor menghala ke Sungai Siput dipercayai terlanggar belakang kereta peronda polis jenis Proton Inspira yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, pelanggaran itu menyebabkan kereta peronda terseret sehingga melanggar lampu isyarat sebelum terlambung ke atas sebuah kereta Proton Waja yang juga sedang berhenti di lampu isyarat.

"Tiang lampu isyarat telah patah dan jatuh terkena pada bahagian hadapan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita," katanya dalam kenyataan di sini.
Pemandu kereta peronda berpangkat Lans Koperal berusia 33 tahun dan penumpang hadapan berpangkat Sarjan berusia 53 tahun hanya mengalami cedera ringan.

Foto PDRM

Foto PDRM
Mohd Ali berkata, pemandu lori dan pemandu dua kereta lain yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Pemandu lori kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, untuk diambil sampel darah dan air kencing manakala kenderaan terlibat ditahan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.