Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyangkal dakwaan bahawa hasrat kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh adalah bermotifkan 'keuntungan perniagaan'.

Beliau berkata, sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan permintaan daripada persatuan majikan sendiri yang lebih terdorong memilih pekerja asing dari Bangladesh.

"Setakat ini daripada profil pekerja, tidak ada prejudis, kesetiaan pekerja Bangladesh lebih baik daripada pekerja negara-negara lain, lebih amanah misalnya menjaga kaunter dan stesen minyak.

"Jangan mudah nak tuduh ini adalah mengenai wang, ini adalah perhambaan moden ... kerajaan memang sentiasa berusaha mencari jalan agar keadaan ini tidak berlaku," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau juga memberitahu dewan bahawa kemasukan 1.5 pekerja asing warga Bangladesh itu masih belum berlaku kerana tiada sebarang perjanjian berkaitan perkara itu telah ditandatangani pihak kerajaan.

Pada 25 Jun lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata sebanyak 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Beliau juga dilaporkan berkata usaha untuk membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh sebanyak 1.5 juta orang itu hanya akan dilakukan selepas menghantar pulang pekerja asing tanpa izin yang berada di negara ini.

Mengenai keganasan, Ahmad Zahid berkata, setakat ini, 179 orang yang terlibat dengan elemen-elemen keganasan, termasuk 136 daripadanya terlibat dengan elemen kumpulan militan IS, telah ditahan polis sejak 2013 hingga 2 Nov lepas.

Katanya, daripada itu, 15 orang adalah penjawat awam dan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kejayaan Malaysia dalam menderadikalisasi individu-individu yang terlibat dalam keganasan militan dan keganasan turut mendapat tumpuan negara lain.

Katanya, Malaysia telah memulakan program pemulihan ke atas bekas anggota-anggota komunis sejak 1948 dan tidak kurang daripada 97 peratus daripada mereka ini telah dapat dipulihkan.

Kini program itu digunakan untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan keganasan militan dan terrorism, kata beliau.

"Program deradikalisasi kita telah menjadi contoh kepada banyak negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata kejayaan negara dalam aspek ini juga diiktiraf oleh negara lain apabila Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Deradikalisasi pada 25 dan 26 Jan depan.