Kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh bukannya kehendak kerajaan tetapi dibuat atas permintaan industri bagi sektor yang dibenarkan, persatuan dan dewan perniagaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjelaskan bahawa kemasukan pekerja Bangladesh itu tidak akan dibuat secara serentak, sebaliknya dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan meluas di dalam media sebenarnya merupakan jumlah mereka yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk tujuan pekerjaan," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia, yang dibubarkan dan digantikan dengan Majlis Halal Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pekerja Bangladesh yang dibawa masuk perlu mematuhi beberapa syarat seperti harus dilatih dalam bidang berkenaan sebelum bekerja di negara ini.

Selain itu, pekerja terbabit perlu dilatih tentang silang budaya bagi memahami budaya Malaysia dan pendedahan dari aspek perundangan dan tataetika kehidupan di negara ini.

"Mereka juga akan disaring daripada aspek jenayah serta kesihatan sebelum kebenaran membawa masuk diberikan," katanya.

Menurutnya penguatkuasaan terhadap pekerja asing termasuk Bangladesh turut dilakukan bagi memastikan mereka yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia, dikenakan tindakan seperti dihantar pulang.

Ahmad Zahid berkata perincian perjanjian Malaysia dan Bangladesh akan dimuktamadkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerajaan Bangladesh di Dhaka pada 18 Feb sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan.

Kemasukan pekerja Bangladesh itu dilaksanakan melalui permohonan atas talian oleh pihak industri kepada Bahagian Pekerja Asing Kementerian Dalam Negeri, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pelaksanaan kadar levi baharu pekerja asing yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Feb lepas, ditangguhkan sementara sehingga pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dengan pemain industri dilakukan.

"Kabinet memutuskan supaya pertemuan KSU KDN dengan dewan perniagaan, persatuan industri dan NGO (badan bukan kerajaan) terlibat dilakukan sebelum 20 Feb ini. Sehingga itu, pelaksanaan kadar baharu itu ditangguhkan sementara," katanya.

Kadar baharu levi itu melibatkan sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan yang dikenakan bayaran RM2,500 seorang dan mereka yang bekerja di sektor ladang dan pertanian dikenakan RM1,500 seorang.

Keputusan pengenalan kadar levi baharu itu dibuat seiring pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pengubahsuaian Bajet 2016 yang menyentuh mengenai penyusunan semula kadar levi pekerja asing ini pada 28 Jan lepas.