Kementerian Kesihatan mengesahakan kematian 12 Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan pada Jun lalu adalah disebabkan demam campak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan forensik, kematian mereka bukannya disebabkan keracunan logam berat.

“Daripada 16 kematian tersebut, empat kematian disahkan demam campak, lapan kematian mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak, manakala empat kematian lagi tidak dapat ditentukan punca kematian kerana tahap pereputan yang teruk.

”Berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan forensik, kematian tidak berpunca dari keracunan logam berat,” kata Dzulkefly pada sidang media di sidang media di pejabatnya di Putrajaya pada petang Rabu.

Beliau berkata kementeriannya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mengenal pasti punca kematian 12 Orang Asli suku Batek kerana keadaan mayat yang sudah reput sehingga menyukarkan proses bedah siasat.

Tambahnya, beberapa sampel persekitaran seperti sumber air minum, tanah dan makanan (ikan masin kering) juga diambil untuk diuji kehadiran logam berat, mikroorganisma dan racun perosak.

”Hasil pemeriksaan mendapati sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak, air sungai dan air telaga mematuhi nilai piawai kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak, namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik.

”Analisa mikrobiologi sampel tanah kubur dan sekitar tempat tinggal satu kes kematian adalah negatif untuk dua bakteria patogenik yang diuji (meliodosis dan leptospirosis).

”Analisa yang dijalankan terhadap ikan masin kering juga mendapati tiada logam berat, histamin dan mikroorganisma,” tambahnya.

Pada 17 Jun lalu, beliau mengesahkan komuniti Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh dijangkiti wabak demam campak yang melibatkan kematian.