Pelbagai spekulasi wujud selepas berlakunya pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Daripada diklasifikasikan sebagai mati mengejut, hinggalah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penemuan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Antara spekulasi yang wujud termasuklah berkenaan kecederaan berganda di kepala (multiple head injuries) hasil penemuan pada laporan hasil bedah siasat kedua.

Sumber memaklumkan Astro AWANI, perkara itu bakal diperincikan oleh pihak polis dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hanya mengesahkan yang pihaknya telah menerima laporan bedah siasat kali kedua tersebut.

"Susulan itu, pada 22 Februari lalu, kertas siasatan telah dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya hari ini,

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor pula enggan mendedahkan sebarang butiran laporan bedah siasat kali kedua itu.

Sementara itu, menurut sumber satu pengumuman penting akan dibuat PDRM selepas menerima maklum balas semula daripada Pejabat Peguam Negara.

Sebelum ini, enam suspek termasuk isteri dan adik ipar mangsa, telah direman dan disiasat bagi membantu siasatan.

Pada 14 Jun tahun lalu, Nazrin dilapor meninggal dunia akibaf terhidu asap selepas tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara dijilat api susulan telefon bimbitnya meletup ketika dicas.

Namun pada 3 Ogos lalu, polis telah mengklasifikasikan semula kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.