Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian seorang wanita di Pasir Gudang yang tular di laman sosial dikaitkan dengan pencemaran udara adalah tidak benar.

Sebaliknya, dalam kenyataan media, Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa mangsa meninggal dunia akibat masalah jantung.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Marini Kasman, 38 tahun, menghidap penyakit kronik serta darah tinggi.

Bagaimanapun, jelas beliau mangsa mengalami gejala sukar bernafas, demam, dan batuk selama tiga hari serta mengalami bengkak di bahagian kaki sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 5 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan akut iaitu tekanan darah sangat tinggi serta mengalami kesukaran bernafas.

"Pasukan perubatan yang merawat telah berusaha sedaya upaya memberikan rawatan kepada beliau, namun keadaan kesihatannya menjadi semakin serius dan telah meninggal dunia pada 6 Julai 2019, jam 4.20 pagi dengan penyebab kematian sebagai Decompensated Heart Failure (kegagalan jantung)," kata Dr Dzulkefly.

Pemeriksaan rekod mendapati, mangsa tidak pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun 2019 lalu iaitu apabila terdapat laporan kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang.

Dr Dzulkefly berkata, KKM bersimpati dan mengucapkan takziah ke atas keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku.

"KKM juga bersedia untuk berjumpa dengan ahli keluarga arwah bagi menerangkan semula penyebab kematian.

"Orang ramai, pihak media dan juga lain-lain pihak adalah dinasihatkan untuk menghormati perasaan keluarga arwah serta mengelak menyebarkan maklumat yang tidak sahih/benar," katanya lagi.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih untuk menghormati perasaan keluarga mangsa.