Polis tidak menolak kemungkinan berlaku unsur penderaan terhadap kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemukan mati di Jalan Ros, Segamat, awal pagi semalam.

Ini berikutan lebih 15 kesan lebam dikesan dipercayai luka lama di beberapa bahagian pada badan kanak-kanak malang itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat berkata bagaimanapun siasatan terperinci berhubung perkara itu masih dijalankan.


Beliau berkata, daripada maklumat awal berdasarkan pengakuan lisan abang mangsa yang dikategorikan sebagai lembam yang juga merupakan salah seorang suspek mengaku ada memukul adiknya itu namun tidak dapat dipastikan sejak bila.

Malah katanya, siasatan awal juga mendapati ibunya tidak terlibat dengan penderaan terhadap kanak-kanak itu.

“Hasil siasatan awal kita jalankan kita tidak menolak kemungkinan mangsa berumur dua tahun itu meninggal disebabkan oleh penderaan abang mangsa.. jadi buat masa ini kami menahan ibu dan abang mangsa.

“Mereka akan direman selama tujuh hari,” kata Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat. ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (Ipd) Segamat, pada petang tadi.


Beliau berkata, suspek wanita yang juga merupakan ibu mangsa itu juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes kecurian sekitar empat tahun lalu dan abangnya tiada sebarang rekod jenayah.

Bagaimanapun, ujian darah yang dibuat di Hospital Segamat mendapati ibunya seorang penghidap HIV dan ujian saringan air kencing kedua-dua suspek pula didapati negatif.

Semalam, kanak-kanak malang itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya di bilik sewa tingkat tiga premis rumah kedai yang disewa keluarga itu, kira-kira pukul 1 pagi.

Wanita berusia 42 tahun itu mendakwa berpesan kepada anak lelakinya berumur 23 tahun supaya mengawasi kanak-kanak itu sebelum keluar menjalankan urusan di bandar Segamat.

Sebaik pulang, ibu mangsa yang kini ditahan polis melihat anak perempuannya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meminta bantuan jiran berhampiran menghubungi pihak hospital.

Terdahulu, kedua-dua suspek terbabit diperintah reman selama tujuh hari sehingga 16 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Ahmad Shakib Ismail di Mahkamah Majistret Segamat sekitar 4.30 petang tadi.

Raub berkata, mayat mangsa kini masih berada di Hospital Melaka untuk dijalankan proses bedah siasat.