Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa agar siasatan segera dilakukan terhadap aktiviti perlombongan besi yang dikatakan punca pencemaran kawasan tadahan air hingga menyebabkan berlaku kematian 14 Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Wiranita Putra, Intan Rahmah Ali berkata siasatan segera perlu dilakukan oleh pihak berwajib terhadap aktiviti perlombongan itu.

Katanya, pihak berkenaan tidak sepatutnya menutup mata dan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasi masalah pencemaran air di kawasan tersebut.

"Selain itu, Wiranita Putra juga berharap agar pihak berkenaan tidak mengambil mudah terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kerana mereka juga adalah rakyat negara ini dan berhak mendapat layanan yang sewajarnya.

"Wiranita Putra juga berharap agensi-agensi berkaitan sama ada dari pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan segera memberi bantuan yang sewajarnya kepada masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehingga kini, seramai 14 Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang itu mati secara ‘misteri’ sejak Mei lalu namun terdapat pihak termasuk penduduk mendakwa kematian itu akibat minum air tercemar.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa meminta semua pihak memberi perhatian segera terhadap kematian misteri Orang Asli suku Bateq itu.

BACA: Dua anak Adidas Om alami sesak nafas sejak empat hari lalu

BACA: Elak jangkitan baharu, hadkan hubungan dengan orang luar - Dr Zaini

BACA: 'Dah lapor sejak awal Mei, tapi tiada tindakan' - Jangkitan kuman belenggu Orang Asli