Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan yang melakukan pemeriksaan ke atas punca air dan air sungai di kawasan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang mendapati tiada pencemaran air sungai atau sumber air.

Pengarahnya Hamzah Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, hasil pemeriksaan yang dilakukan pada 2 April lepas mendapati, kawasan berkenaan bebas dari sebarang pencemaran di sungai atau pun di sumber air.

“Ketika melakukan pemeriksaan dua bulan lalu, tiada aduan pencemaran dikemukakan oleh penduduk asli Batek itu, bahkan mereka juga menggunakan sumber air telaga tiub atau air bawah tanah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menghantar satu pasukan bersama pegawai untuk melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan dan mengambil contoh air, tanah dan sebagainya, untuk ujian pada Ahad.

BACA: Misteri kematian orang asli di Gua Musang

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes melibatkan penduduk Orang Asli Batek di Kuala Koh, Pos Lebir, di sini, yang setakat ini melibatkan dua kematian.



Penduduk asli di pos berkenaan mendakwa diancam penyakit misteri yang meragut nyawa ahli keluarga mereka.

Bahkan, mereka mendakwa kematian itu berpunca daripada sumber air tandak (kolam takungan) yang digunakan untuk aktiviti seharian.

BACA: Bukan penyakit misteri, kematian akibat jangkitan paru-paru - Polis

Kata Hamzah, sejak awal Ramadan lalu, penduduk mula diserang penyakit yang mereka dakwa berpunca daripada sumber air tandak yang dicemari sisa perlombongan bijih besi yang kata mereka, telah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Hamzah menjelaskan tiada bekas lombong di kawasan berkenaan selepas pemantauan dilakukan dua bulan lalu.