Kerajaan Terengganu berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan negeri itu yang satu ketika dahulu cukup dikenali sebagai destinasi pilihan pelancong untuk melihat penyu terutamanya di Pantai Rantau Abang di Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata Pantai Rantau Abang sebelum ini amat terkenal dengan pendaratan penyu belimbing, namun ia semakin suram, malah kali terakhir spesies itu ditemui mendarat ialah pada 2010.

"Bagi memastikan penyu terus mendarat di pantai kita, kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha-usaha konservasi penyu dan tuntung di 46 kawasan yang mana 14 daripadanya telah diwartakan sebagai pusat pemuliharaan dan santuari penyu.

"Malah setiap tahun kita turut memberi peruntukan lebih RM200,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk membantu daripada segi perbelanjaan operasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Lama Kampung Tuan di sini sempena lawatan kerja di daerah Kemaman pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata projek pembangunan fasa kedua Zoo Kemaman yang dimulakan pada bulan Mei tahun lalu telah pun berada di peringkat akhir dan dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau berkata projek bernilai RM3 juta itu merangkumi enam pakej utama termasuk 'Australia Bushwalk', 'Africa Savana' dan 'Wild Asia'.

"Zoo Kemaman masih beroperasi sehingga hari ini dan pada masa ini kita fokus pada kerja-kerja pembangunan fasa kedua. Kita rancang untuk bangunkan pula fasa ketiga selepas ini yang melibatkan tapak perkhemahan dan rekreasi memandangkan kawasan zoo ini luas iaitu sekitar 120 hektar," katanya.

Menurut Ariffin lagi jumlah pengunjung zoo juga mencatatkan peningkatan iaitu seramai 30,924 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 20,501 tempoh sama tahun lalu.

Zoo Kemaman yang terletak di Kampung Ibok dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 12 April 2009, dan pembangunan fasa pertama meliputi kawasan seluas 14 hektar dengan kos RM3 juta.

-- BERNAMA